Saturday, March 24, 2012

Kita lupa akhirat...

Kita sibuk....


Nasiblah...itu bahagian kita di dunia ini.

Apakah kesibukan kita seharian? Apakah kita disibukkan dengan urusan yang akan memberikan kita keuntungan di negeri akhirat? Atau kesibukan kita itu membuahkan penyesalan teramat sangat di sana nanti? Inilah persoalan yang perlu kita teliti dalam meniti sisa-sisa umur yang masih berbaki.

Ramai antara kita yang berada dalam ‘zon’ selesa dengan pelbagai kemewahan dan kenikmatan hidup sehingga tidak mahu lagi memikirkan akan ‘nasib’ di akhirat nanti. Segala kemewahan itu memang telah melekakan kita dan kita terus dalam kesibukan seharian yang entah mendatangkan kebaikan kita di sana atau sebaliknya.

Umur, itulah antara nikmat terbesar kurniaan Allah yang banyak kita persiakan. Saat, detik, jam, hari, bulan, tahun yang berlalu tidak pun terisi dengan perkara yang selayaknya kita diciptakan untuknya. Bukankah waktu itu adalah kehidupan? Dan bukankah matlamat hidup itu untuk memperhambakan diri kepada Allah? Inilah tujuan hakiki hidup ini. Inilah matlamat utama anugerah hayat yang hanya bersifat sementara ini.

Saban hari kita senantiasa dalam kesibukan. Kita ke hulu ke hilir mengejar bayang-bayang yang tidak pasti. Mengejar sesuatu yang tidak pernah memuaskan hati kita. Mengejar sesuatu yang akan kita tinggalkan nantinya. Mengejar sesuatu yang bersifat fana, musnah jua akhirnya. Tidak lain kesibukan kita adalah semata-mata kerana mengejar ‘dunia’. Banyak tenaga, usaha, buah fikiran dan lainya tercurah sepenuhnya untuk mengejar dunia yang sementara. Justeru, itulah nasib dan bahagian kita di dunia ini.

Apa yang kita sibuk sangat?

Martabat dan keadaan ‘sibuk’ seseorang adalah berdasarkan kepada ‘jauh dekatnya’ dia dengan penciptanya. Andai dia dekat dengan penciptanya, sibuknya adalah lebih kepada hal-hal berkaitan ‘taqarrub’ kepada sang pencipta. Andai dia jauh dengan khaliqnya, makanya kesibukannya pula adalah sebaliknya. Jauh dan semakin jauh dengan khaliqnya dan akan menyibukkan dirinya dengan yang tidak tahu hujung pangkalnya.

Nasiblah, kita tersibuk oleh kesibukan yang mana satu. Segalanya adalah ‘pilihan’ kita sendiri pada zahirnya, dan hakikatnya kita bimbang itulah habuan yang di’kurniakan’ untuk kita. Maka perbanyakan doa munajat moga Allah letakkan kita dalam golongan yang hanya sibuk keranaNya, dan bersyukurlah andai kita disibukkan dengan haal-hal ‘ibadah’ kepadaNya, moga kita tidak menjadi sebaliknya.
Kesibukkan yang menguntungkan!

Pertama..
Antara kita, ada yang hidup matinya adalah kerana berkhidmat untuk agama Allah. Meneruskan kesinambungan Risalah Agung yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Merekalah yang memegang amanah ‘warasah’ para anbiya Allah. Bermula semenjak awal usianya bertungkus lumus di medan ilmu turath Islam yang merupakan ‘tiang’ kepada Deenullah. Puluhan tahun ‘sibuk’ menguasai ilmu dari para ulama. Mencakupi ilmu syariat, hakikat, ilmu zahir dan batin, ilmu-ilmu alat untuk kepentingan ‘martabat’ ilmu Islam yang diwarisi zaman berzaman dari para ulama.

Sebaik ‘tamat’ mendalami segala bidang ilmu agama, seterusnya sibuk pula mentarbiah para santri dan ummah kepada agama Allah sehingga ke nafas yang terakhir. Tiada istilah pencen bagi mereka. Bayangkan! Betapa kesibukannya sepanjang usianya adalah semata-mata untuk agama Allah yang maha suci. Usianya habis terguna untuk Allah, meninggikan syiar dan martabat agamanya. Bertuahlah insan-insan yang bergelar ulama ini. Tidak ada tolok bandingnya ‘kesibukkan’ mereka ini. Golongan ini sukar untuk dicari dan ianya semakin pupus di akhir zaman. Apakah kita tergolong dalam orang-orang seperti ini?

Kedua...

Sibuknya adalah kerana mempeljari ilmu-ilmu agama. Sepanjang hayatnya sibuk dengan mengaji semata-mata kerana Allah Taala. Bukan bertarung kepandaian mahupun kepintaran mencapai gelaran pelajar cemerlang dan terbaik yang akan dimasyhurkan seantero negara.
Sekalipun tidak dimartabatkan sebagai ulama, namun cukuplah kesibukannya dalam medan ilmu agama untuk memperbaiki kejahilan diri. Memperbetulkan aqidah, amal ibadah, akhlak untuk hidup sebagai hamba Allah yangmemenuhi kriteria insan abid yang soleh.

Abid yang soleh hanya mampu dicapai dengan ilmu yang benar. Tanpa ilmu yang benar, segala amal yang dilalkukan adalah sia-sia sahaja. Apalah gunanya ibadah yang dilakukan hanya menjadi habaa’an mansura. Bertuahlah juga akan golongan ini. Apakah kita tersenarai di kalangan mereka?
Ketiga...
Usianya dihabiskan untuk berjuang di medan jihad, menentang kaum kuffar yang memerangi Islam. Mencari gelaran syuhada fi sabiillah. Menegakkan agama Allah. Membela golongan mustadh’afin yang menghadapi mustakbirin kafirin. Namun awas! Selain golongan ulama dan penuntut ilmu, medan jihad juga dipenuhi periuk api andai caranya tidak menepati sunnah. Juga bisa tertipu jika jihadnya itu terselit niat yang lain seperti mencari nama, mengejar kuasa semata-mata dan bergaduh sesama Islam setelah memiliki kuasa. Apa yang berlaku di bumi Afganistan adalah menjelaskan akan hakikat ini.

Semasa tekun berjihad, masing-masing bersatu menentang kuffar, dan di sana datang nasrullah, namun bila saja mencapai kemenangan, kuasa pula yang menjadi rebutan. Akhirnya amalan jihad yang dilakukan sebelum ini hancur dek perebutan kuasa itu.Namun, andainya keikhlasan dalam jihad adalah semata-mata kerana Allah, maka langkah bertuahnya para mujahid agama ini. Apakah kita semua ada bahagian dalam medan jiad fi sabilillah?

Ada yang sibuk dalam jihad ekenomi, ini tak termasuk dalam ertikata jihad yang disarankan dalam Al Quran. Berapa ramai yang kononya berjihad ekonomi, namun tidak pun ‘murah tangan’ membantu meningkatkan syiar Islam. Ekonominya hanya untuk diri sendiri. Inilah kita!

Keempat...

Khidmatnya, buah fikirannya, masanya, harta bendanya ditumpukan kepada kerja-kerja kebajikan untuk maslahat ummah. Murah tangannya membantu insan-insan yang memerlukan. Derma, sedekah apatah lagi zakat disalurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan. Ikhlas semata-mata kerana Allah. Institusi agama/ilmu dibantu. Badan-badan kebajikan tidak dilupakan. Anak-anak yatim diberi perhatian...mereka para dermawan persis sayyidina Abi Bakar, Abdurrahman bin Auf dan lainnya. Kekayaan mereka adalah tertumpah kepada agama Allah. Apakah kita di kalangan mereka?

Kelima..

Hidupnya semacam tidak dihargai kerana kedaifannya. Namun kemelaratannya itu tidak pun ditukar dengan ibadah kepada Allah. Fakirnya hanya di luar, tetapi di batinnya kaya. Dia juga ‘sibuk’ mencari sesuap nasi, namun hanya cukup untuk keperluannya. Dia tidak meminta-minta. Tidak menagih simpati. Segalanya diterima dengan ridha hati. Sekalipun ‘terhina’ kerana keda’ifan, namun ‘mulia’ di sisi Allah.

Si fakir yang hatinya bergantung penuh kepada Allah. Melihat hidup ini hanya kesenangan yang penuh tipudaya. Lisan dan hatinya basah dgn zikrullah. Golongan sebegini mudah ditarbiah oleh Mursyid. Mursyid senang dengan kehidupan mereka. Mereka senang dibentuk dek hati dan jiwa mereka sudah ‘kenal’ akan dunia ini.

Tak susah bagi mereka membuang nafsu cinta dunia kerana mereka hanya memiliki yang selayaknya kadar untuk hidup, hidup untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah, bahkan da di kalangan mereka terdiri dari para ‘waliyullah’, walaupun tidak semua si fakir itu wali. Alangkah indahnya si fakir yang hatinya disibukkan bersama Allah. Adakah kita kenal insan sebegini?

Keenam...

Satu lagi kesibukan yang sudah tidak wujud lagi sekarang ini ialah, Pemimpin yang adil yang berdiri di atas yang haq.. Pimpinan yang ada hanyalah pimpinan yang tidak ikhlas bahkan banyak mencari kepentingan diri, puak dan penyokong sendiri. Pemimpin yang ada kini adalah pemimpin untuk golongan tertentu sahaja, bukan untuk ummah keseluruhannya. Cumanya kita sedang menanti kemunculan Imamul Mahdi Al Muntazar yang akan mengembalikan dan memenuhi dunia ini dengan keadilan setelah sekian lama ianya gersang.Demikianlah hal-hal kesibukan yang bersifat menguntungkan si pelakunya di akhirat nanti.

Apa pun rumusannya kita kembali kepada Surah Al Asr.

Adapun yang tidak termasuk ke dalam golongan di atas dikhuatiri sibuk dengan perkara-perkara yang akan menimpakan penyesalan di akhirat nanti. Secara ringkas, antaranya;

1. Bijak pandai yang berkecimpung dalam bidang agama, namun menggunakan kedudukannya itu untuk merebut kesenangan dan kemewaahan hidup dunia. Berjawatan tetap, bergaji besar, hidup serba mewah. Golongan agamawan yang tidak pun ada ciri-ciri ulama akhirat. Pakainnya tak ubah seperti pakaian smart pelakon dan korporat barat. Lengkap bertali leher dan berkod. Sibuk bertugas kononya demi agama, memegang jawatan yang menghasilkan pulangan lumayan. Membentangkan kertas kerja merata tempat, namun kertas sahaja yang berkerja, namun diri sendiri dilupai, tidak ditarbiah dengan amalan-amalan rohani. Dari merekalah lahirnya pandangan-pandangan yang menyalahi ulama-ulama muktabar.

2. Golongan agama yang sibuk dengan tugas sebaliknya. Yang tidak pada dengan title ustaz yang disandangnya. Aktif dalam politik, mahir dalam sukan, sibuk dalam perniagaan, bisness. Tak nampak pada mereka tanda-tanda seorang ahli agama. Bahkan amalan sunnah langsung ditinggalkan dan banyak bergaul dengan orang-orang fasiq dan jahil. Merasa cukup dengan ilmu yang ada. Tidak mendampingi dengan majlis para Ulama Akhirat. Merekalah pencemar martabat ‘ahli agama’ pada padangan masyarakat. Alangkah celakanya kita ini?

3. Golongan Pelajar yang hanya ‘pentingkan’ ilmu diniawi semata-mata. Belajar hanyalah untuk mengejar ‘A’ dan cemerlang sahaja. Ianya turut menyerang pelajar-pelajar agama yang belajar ilmu agama hanya untuk tujuan lulus peperiksaan sahaja. Menghafaz bukan main, tetapi bila habis periksa, habis ‘nota-nota’ agama dibuang bersepah di kaki lima. Apa lagi ilmu-ilmu yang dikejar hanya ilmu fardhu kifayah dunia. Manakala ilmu fardhu ain disia-siakan, ilmu fardhu kifayah Agama ditinggalkan. Mereka ingat mereka berada di medan ilmu yang diredhai Allah. Namun hakikatnya mereka hanya mengundang murka Allah kerana mengutamakan ilmu yang hanya berguna untuk dunia dengan meninggalkan terus ilmu-ilmu akhirat. Usia habis begitu sahaja dengan menuntut ilmu yang sia-sia. Sia-sia bukan kerana ilmu itu, tetapi sia-sia kerana mengsia-siakan ilmu akhirat.

4. Golongan ahli dunia; pemuzik, penyanyi, pelakon, pelawak, pelapor, usahawan atau bisnesman yang alpa akan tugas dan tanggungjawab terhadap agama dan ummah, ahli sukan, pemimpin, politikus, penjawat-penjawat jawatan yang hanya berlegar memenuhi tembolok nafsu mengejar kemewahan hidup, tanpa memikirkan jalan-jalan akhirat serta lari dari kehidupan beragama. Lupa akan akhirat. Lupa akan amalan agama. Hidup penuh berfoya-foya mengejar nama dan harta dunia. Mereka tidak pun berdampingan dengan para ulama malah tidak mengenali para ulama. Hidup adalah semata-mata untuk dunia. Sibuk untuk hal-hal dunia! Alangkah ruginya kita di akhirat nanti andai kita tergolong dalam golongan ini.

5. Kaki-kaki maksiat yang memang hidup mereka adalah satu kerugian andai tidak bertaubat nasuha.

6. Golongan yang sibuk 'memperkatakan' orang lain, menyalahkan orang lain, memburuk-burukkan orang lain, menfitnah orang lain, menghina orang lain, memperlekehkan orang lain...mendakwa kebaikan hanya berada di pihaknya sahaja, orang lain semuanya salah dan tak betul...alangkah celakanya jika kita tergolong dalam golongan ini.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta senantiasa berpesan kepada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran”

Moga Allah selamatkan kita semua, serta memasukkan kita dalam golongan yang sibuknya untuk akhirat. Allahumma salimna wal muslimin ajma’in.

No comments:

Post a Comment