Sabtu, 28 Januari 2012

Cara Berwudhuk bagi Jamaah Haji/Umrah

بسم الله الرحمن الرحيم

Rata-rata jamaah Haji atau Umrah kita yang mengambil mudah soal wudhuk terutama yang melibatkan perkara-perkara yang membatalkan wudhuk ketika Tawaf. Umum menyedari saat melakukan Tawaf kita berhadapan dengan suasana bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang sememangnya tidak dapat dielakkan.

Justeru, ada yang mengambil pendekatan mudah antaranya; mengatakan ianya dharurah, tak mengapa bersentuhan. Ada pula yang bertaklid akan mazhab-mazhab yang tidak membatalkan wudhuk bila bersentuhan dan ada yang ikut suasana orang sekeliling.

Guru hamba berpesan, tak perlu kita bertaklid mengikut mazhab lain, kerana Mazhab Syafie sendiri ada kaedah dan caranya.

Bagi kita yang bermazhab Syafie, sebenarnya ada jalan penyelesainnya mengikut mazhab kita sendiri. Memang Qaul Jadid yang mendominasi fatwa dalam Mazhab Syafie menghukumkan batal wudhuk bila bersentuhan lelaki perempuan yang bukan Muhrim.

Namun di sana, ada Qaul Qadim (lama) yang mana hukum bersentuhan tanpa syahwat adalah tidak batal. Justeru, kita kena 'ingat' mengikut fatwa Qaul Qadim untuk mengelakkan wudhuk kita tidak batal. Caranya ialah dengan kita juga berwudhuk mengkut fatwa atau pun cara Qaul Qadim.

Ada sedikit perbezaan antara cara wudhuk Qaul Jadid dan Qaul Qadim dalam soal wudhuk. Jadi, kita berwudhuk mengikut cara Qaul Qadim iaitu; semasa mula berwudhuk, hadirkan ingatan bahawa kita berwudhuk mengikut Qaul Qadim dengan cara;

1. Ingat; basuh tangan hingga ke pergelangan tangan adalah wajib (rukun)
2. Istinsyak dan Mudmadhah (masuk air ke hidung dan berkumur) juga wajib
3. Menyapu seluruh kepala (bukan sebahagian) ianya rukun dalam kedua-dua Qaul, tetapi Qadim seluruh kepala manakala Jadid pula mana-mana bahagian di kepala.
4. Yang lain (seterusnya) sama seperti biasa.

Maka selesailah permasalahan wudhuk terutama ketika dalam suasana  mengerjakan Tawaf. Bila kita berwudhuk mengikut cara Qaul Qadim di atas, maka masalah bersentuhan tanpa hadirnya syahwat tidak membatalkan wudhuk.

Paling tidak pun, yakni kalau kita tidak mahu mengambil wudhuk cara Qaul Qadim, ada juga pendapat yang LEMAH, yang mengatakan tidak batal wudhuk jika bersentuhan tanpa syahwat. Namun ianya pendapat yang sangat lemah. Lagi elok kalau kita berwudhuk ikut Qaul Qadim seperti di atas.

Semoga bermanfaat untuk kita bersama.

Wallahu a'lam.