Monday, October 3, 2011

Ilmu Islam (Agama) Terpinggir

Kenapa Pinggirkan Ilmu Islam


Sejak pra sekolah, ilmu-ilmu wahyu dipinggirkan dalam sistem pendidikan. Walaupun ada, namun ianya sekadar syarat. Setelah anak-anak memasuki alam sekolah rendah (umur 7-12) tahun, penekanan kepada ilmu-ilmu Islam juga tak ke mana. Ianya terpinggir dan terpaksa ditampal dengan sekolah agama di sebelah petang atau kelas KAFA.

Seterusnya hingga ke peringkat menengah (umur 13-18) nasib ilmu-ilmu Islam juga turut dipinggirkan. Penekanan hanyalah pada subjek-subjek yang ada nilai untuk jurusan-jurusan yang memenuhi pasaran kerja sahaja. Walau pun subjek agama turut diajar, namun ianya tidak mampu memenuhi tuntutan fardhu ain baik dari segi teori maupun amalan. Atau dengan kata lain, subjek Pendidikan Islam yang ada tidak mampu membentuk keimanan dan ketakwaan pelajar. Apa lagi pembelajarannya hanya menumpukan kepada pencapaian dalam peperiksaan sahaja.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tiadanya penekanan dalam aspek amalan agama di kalangan pelajar apabila praktikal hukum hakam agama tidak terlaksana dalam biah pelajar seharian. Misalnya pelajar diteorikan akan kewajipan menutup aurat dan membataskan pergaulan dalam antara lelaki dan perempuan melalui Pendidikan Islam, namun hal sebaliknya berlaku ketika aktiviti sukan atau ko kurikulum. Malah Dalam kelas pun aspek pergaulan tidak dititikberatkan, apa lagi di padang. Berpakaian membuka aurat seakan dibenarkan dan pergaulan bebas seakan digalakkan.

Begitulah kesinambungan ini terus berlangsung dengan jayanya apabila pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT. Di saat pelajar jauh dari kawalan ibubapa, mereka bebas meneruskan budaya yang dibawa dari sekolah ke IPT. Pergaulan bebas jangan lagi nak dikata, sangat-sangat bebas. Maka tak hairanlah pelbagai masalah sosial yang kita dengar berlaku di kalangan siswa dan siswi. Masalah ini adalah berpunca dari kelonglaian agama di kalangan pelajar yang puncanya adalah meminggirkan ilmu islam baik dari segi teori mahu pun amalan.

Akhirnya lahirlah generasi ummah yang jauh dari ruh Islam akibat meminggirkan ilmu-ilmu Islam kerana mengutamakan bidang-bidang ilmu yang lebih memeberikan keuntungan kepada nilai ekonomi. Hampir puluhan tahun anak-anak tidak diasuh dengan ilmu-ilmu Islam yang menyebabkan mereka terasing dari agama sendiri. Mereka berjaya menjadi pakar-pakar dalam bidang yang diceburi, namun ketinggalan dalam agama. Agaknya bilakah masa yang ada untuk kita tebus kembali zaman belajar yang kita tinggalkan untuk mengejar ‘permata yang hilang’ dari hidup kita. Sedang ilmu-ilmu wahyu inilah yang akan menyelamatkan kita dari kesengsaraan hari akhirat nanti. Melalui ilmu-ilmu Islam sahajalah menjadikan kita kenal akan Pencipta, tahu hukum-hukum syariat yang terangkum dalam Iman, Islam dan juga Ihsan.

Persoalannya, kenapa kita mengutamakan ilmu-ilmu yang faedahnya hanya untuk meraih kesenangan dan keselesaan hidup di dunia semata-mata dari ilmu-ilmu yang akan menyelamatkan kita di hari akhirat yang kekal abadi. Sebagai Muslim, kita perlu bijak membuat perhitungan, dek kerana dunia saat ini berlumba-lumba kekayaan dunia, kita pula turut sama ke arah itu tanpa menyedari bahawa perintah ‘wajib’ menuntut ilmu sebenarnya adalah ditujukan kepada ilmu-ilmu Islam, terutama ilmu-ilmu yang fardhu ain diketahui oleh kita.

No comments:

Post a Comment