Sunday, September 25, 2011

Jalanan Ahlu Bait ikutan Kami...

Jalanan Ahlul Bait ikutan kami..


Kita sebenarnya tidak menyukai sebarang perpecahan..pergaduhan..pertelingkahan..persengketaan dan permusuhan sesama Muslim..yang tidak berkesudahan…

Usahlah kita terlampau terikut-ikut dengan sistem Demokrasi Barat yang memang bertujuan memecahbelahkan sesama Umat Islam..walau apa pun alasan dan tiket yang kita gunakan, samada bernada Islam atau untuk pe, mbangunanbangsa atau lainnya, Islam tidak mengizinkan sesuatu matlamat yang menghalalkan dan menyemai permusuhan di kalangan ummah, apa lagi kalau sesuatu matlamat itu untuk berbakti dan menabur jasa atau kebajikan atau pun untuk mengislah ummah.

Pendekatan yang membawa kepada perpecahan bukanlah jalan para salafussoleh dan ulamaul ‘aamilin apa lagi Abrar dan Muhaqqiqin. Dakwah ilaLlah mestilah diasaskan atas dasar HIKMAH, KASIH SAYANG dan NASIHAT yang baik, bukannya dengan MAKI HAMUN, BERTEGANG LEHER, TUDUH MENUDUH, DAKWA MENDAKWA dan sebagainya lagi…

Dalam konteks berpolitik, pihak-pihak yang menjadikan politik sebagai medan untuk berbakti, berjasa, berkebajikan, seruan Islam, Islah bangsa perlulah mengambil politik kepartian ini seadanya, dengan penuh rendah diri, tawadhuk, tidak berprejudis menawarkan diri, kumpulan, parti semata-mata untuk seuatu kebaikan. Maksudnya berpolitiklah secara matang dan rasa tanggungjawab menawarkan produk-produk dan matlamat-matlamat politik sejajar dengan dasar yang dibawa.

Menawarkan kumpulan dan parti masing-masing ibarat kita membuka kedai makan. Walau apa pun kedai makan kita dinamakan, menu masakan, hiasan dan sebagainya, semua itu untuk kepuasan ummah yang menjadi pelanggan kepada kita. Kita dilarang sama sekali merendah-rendah dan memperkecilkan kedai sebelah kita, mencaci, memaki hamun pelanggan-pelanggan yang bertandang ke kedai sebelah cuma kerana mereka tidak dan belum bersedia ke kedai kita.

Salah etika perniagaan andai kita berbuat demikian. Samalah, salah etika politik kita kalau kita menyalahkan mana-mana pihak. Hal ini begitu sinonim dengan politik yang berlaku di negara-negara maju. Politik yang cukup demokratik. Namun teramat asing di kalangan politiking umat Islam Melayu. Jatuh menjatuh, fitnah menfitnah, memperlekeh, menghina sudah menjadi budaya politik umat Melayu beragama Islam.

Di manakah silapnya? Kenapa begitu caranya kita mengejar suatu ‘amanah’ atau ‘tanggungjawab’ yang tak terdaya untuk kita memikulnya. Amanah memimpin ummah adalah satu amanah yang akan membinasakan pencintanya andai silap perhitungan. Apa lagi kalau menjadikan ‘amanah’ ini sebagai suatu karier atau mengaut keuntungan peribadi. Teramatlah malang kalau bidang politik dijadikan alat untuk mengaut segala keuntungan yang bersifat sementara.

Seandainya seseorang itu menyedari betapa ‘amanah’ kepemimpinan adalah satu amanah yang besar dan berat, tentunya mereka tidak akan cuba untuk mendapatkan ‘amanah’ itu dengan apa cara sekalipun. Apa lagi di saat sudah ada pihak yang melaksanakan amanah ini, terasa sudah terlepas suatu bebanan. Kerana itu perebutan pengaruh untuk memperolehi kuasa dilihat sebagai satu usaha untuk memiliki ‘amanah’ besar dan berat ini.

Apakah kita diperintah untuk merebut kuasa di saat kita tidak berkuasa dan pada masa yang sama sudah ada yang telah memegang kuasa itu? Agama hanya mengajar agar kita menegur pemerintah yang melakukan kesilapan. Menegur dengan cara yang baik dan berhikmah, bukannya bangun memberontak dan merampas kuasa samada secara revolusi mahu pun demokrasi. Cumanya, oleh kerana kita telah dipaksakan satu sistem pemilihan pemimpin melalui demokrasi ciptaan Barat, perkara ini semestinya terjadi. Namun kalau diamati dengan pandangan mata hati, apalah gunanya kita berkerja keras untuk mendapatkan suatu ‘amanah’ yang bakal dipersoalkan nanti di Mahkamah Allah di padang Mahsyar nanti. Tak tertanggung untuk kita memikulnya.

Justeru itu kita melihat betapa sebenarnya persengketaan kita sesama Islam dalam merebut kuasa adalah suatu yang bertentangan dengan pertimbangan akal yang waras. Apa lagi pertimbangan Iman. Untuk kita menjaga anak isteri atau keluarga sendiri pun tak terdaya. Inikan pula nak berkuasa dan memerintah Negara dan menjaga seluruh hamba rakyat. Berilah sahaja kepada mereka yang mahukannya. Bagi kita, segala bebanan sudah pun terlepas dari batu kepala kita.

Andai maksud kita mahukan kuasa untuk melaksanakan perintah dan suruhan Allah, itu pun sudah terlepas kerana badan pemerintah sudah pun memiliki barisan para mufti, qadhi, golongan penjawat jawatan bekenaan agama di majlis-majlis Agama negeri, pegawai-pegawai agama, ustaz-ustaz, Imam-Imam dan sebagainya sudah pun wujud. Bilangan yang sudah cukup untuk melaksanakan ‘amar makruf nahi munkar’ seandainya mereka digerakkan atau bergerak secara bersepadu. Pada bahu merekalah segala persoalan berkaitan perjalanan aspek keagamaan dalam Negara kita. Mereka sudah mengambil tanggungjawab terhadap agama. Maka terlepas sekali lagi bebanan berat untuk kita. Kerana itu, tidak ada sebab bagi kita untuk merebut ‘amanah’ ini dari empunyanya, nanti segalanya binasa.

Oleh kerana itu, apabila banyak masa yang kita ada untuk tidak melibatkan diri dalam bidang politik kepartian bertujuan merebut kekuasaan, bolehlah kita berjuang untuk mempastikan diri sendiri hidup dalam bi’ah agama. Begitu juga anak isteri kita, kita tarbiyahkan ka arah memahami dan beramal dengan cara hidup sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Dan seterusya menumpukan usaha menarik masyarakat bukan Islam yang ada di Negara kita untuk mendekati Islam.

Bidang politik sudah ada yang menjaganya. Bidang agama sudah ada pegawa-pegawainya. Tinggalkan sahaja mereka untuk bertanggungjawab dengan tugas dan amanah yang diberikan kepada mereka. Tumpukan ke arah memperbaiki diri sendiri, anak isteri, kaum keluarga, sahabat handai, jiran-jiran ke arah mengamalkan cara hidup yang menepati kehendak Islam yang syumul. Kalau pun ada sesuatu yang tidak disenangi yang dilakukan oleh golongan pemerintah, caranya ialah dengan menegur dan manasihati mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Beginilah jalanan para ulama terutamanya para keturunan Ahli Bait atau Habaib yang diperintahkan oleh Rasulullah agar kita mencontohi dan mengikutinya.

Semoga api perpecahan yang sedang membakar dada ummah akan berakhir nantinya. Sebelum ianya direalisasikan sendiri oleh Al Imamul Muntazar…

No comments:

Post a Comment