Sunday, May 30, 2010

Perbezaan pendapat/pandangan/fahaman/ideologi perlu dihadapi dengan penuh hikmah dan berlapang dada...

Perbezaan pendapat/pandangan/fahaman/ideologi perlu dihadapi dengan penuh hikmah dan berlapang dada...

Berlapang dada lah…..

Sikap berlapang dada dengan sebarang situasi; sakit, bala, bencana, istimewa pula dalam masalah-masalah percanggahan pendapat/ideologi, fahaman dan pemahaman, perbezaan pandangan, tindakan dan sebagainya adalah melambangkan keperibadian Mukmin dan Muslim dan muttaqin sejati.

Masalah percanggahan pendapat dan pandangan bukannya masalah baru, ianya bermula sebaik sahaja wujudnya makhluk yang bernama manusia. Pertembungan antara yang hak dan batil, pertentangan antara yang benar dan yang salah, yang bengkok dan yang lurus. Kenapa pertentangan ini berlaku? Jawapannya ialah kerana kedangkalan manusia serta kedaifan mereka melangkau dan mengjangkau hakikat sesuatu perkara mengikut kehendak sebenar yang Maha Haqq. Andainya manusia tahu akan sesuatu ’hakikat’ sudah tentu masalah percanggahan ini tidak akan wujud sama sekali. Ini dijelaskan dalam peringatan Allah : ”dan tidaklah kamu diberikan daripada ilmu itu kecuali sedikit sahaja”

Dengan sedikitnya serta dangkalnya ilmu manusia itu, mereka akan cuba dan tercari-cari sesuatu hakikat (kebenaran) berdasarkan akal yang terbatas. Dari itu dalam konteks ilmu, kita mendapati perbezaan ketara antara ilmu para fuqaha dan ilmu para ’arifina billah. Fuqaha menggapai ilmu melalui kaedah ’aqliyyah, sedang para ’arifinabillah mendapat ilmu yang terus (ladunni) dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana para ’arifinabillah beroleh kemurnian dan kesucian hati sehingga mampu menjangkau alam syahadah ke alam malakut, jabarut yang membolehkan mereka menerima terus ’hakikat’ sesuatu perkara dari yang Haqq. Mereka beroleh ’kasyaf’ (pendedahan) dari yang Maha Haqq.

Justeru itu kita melihat para ’arifinabillah adalah insan yang paling berlapang dada dalam apa jua situasi dan keadaan, bahkan dalam keadaan anggota badannya dihiris dipotong, disalib dipancung...semua itu tidak terkesan apa pun pada mereka; Marah? Jauh sekali. Mengaduh? Tidak. Yang ada ialah...haq haq haq! Kenapa? Mereka ridha dgn apa yang ditaqdirkan oleh Al Haqq. Untuk apa mereka marah, mengaduh pada apa yang datangnya dari Al Haqq.

Da’wah Ilaallah
Bagi para pendakwah agama Allah, samada yang bergerak sendirian sebagai Ad Daie, maupun yang bergerak dalam jamaah sebagai Ad Du’ah, setelah dengan penuh kerelaan ’berbai’ah’ diri untuk Allah dan Rasul, berkewajipan menjadikan sikap berlapang dada sebagai Manhaj dalam tugas melaksanakan al amru bilma’ruf wan nahyu ’anil munkar.

Sikap berlapang dada perlu dijadikan manhaj dalam berdakwah untuk mengelakkan para pendakwah/pejuang dari terjebak ke dalam jurang yang amat berbahaya; Ad Da’aawa, yakni mendakwa diri/jemaah lebih baik dari orang/jemaah lain. Sedang da’aawa sebegini dalam disiplin ilmu para sufi adalah satu bentuk Takabbur, sombong, bongkak..yang akhirnya memakan setiap amalan kebajikan yang dilakukan, yang akhirnya menjunamkan seseorang itu dalam kemurkaan dan neraka Allah Subhanahu wata’ala. Na’uzubillah.

Apa bahayanya Ad Da’aawa ini??? Ad Da’aawa atau dakwaan-dakwaan ini akan menjadikan seseorang pendakwah lebih bersikap At tahakkum, yakni banyak menghukum dalam menyampaikan Agama Allah. Dalam menghadapi umat islam yang rata-rata jahil yang menjadi medium (sasaran) dakwah, seseorang Daie akan terjebak kepada situasi yang mana mereka mudah menghukum mereka (medium da’wah) sebagai sesat, fasik, zalim, jahil, penentang Islam, dan sebagainya. Sedang sifat menghukum ini teramat jauh dari pendekatan da’wah Rasulillah sallallahu alaihi wasallam.

Sedang dalam sesetengah hukum feqah, terutama solat, dalam keadaan tertentu kesalahan si jahil akan dimaafkan lantaran perbuatannya itu kerana kejahilannya dan solatnya dikira sah, contohnya, setelah ia bangkit semula untuk membaca doa Qunut, pada hal ia telah turun melebihi had rukuk..nah! inilah caranya Islam menghadapi insan/pelaku ibadat yang jahil ini.

Kalau lah Rasulullah menggunakan kaedah dan pendekatan At Tahakkum ini, sudah tentu Islam tak akan ke mana. Memang lah kita tidak mampu mengikut seratus peratus pendekatan Rasulullah, namun sekurang-kurangnya kita sedar betapa sikap menghukum itu adalah amat-amat tidak relevan sekiranya kita bergelar daie/pejuang ilallah.

Makanya sikap berlapang dada dalam berdakwah akan terzahir bila kita memahami ’hakikat’ berdakwah. Kewajiban kita hanya menyampai, dan Allah jua lah yang memberikan hidayah, samada medium dakwah kita itu menerima atau tidak dakwah yang kita sampaikan. Wal hasil kita telah menyampaikan. Yang lebih dari itu kita serahkan kepada Allah. Inilah manhaj dan uslub yang digunakan oleh para sufi dan murabbi. Soal perdebatan, pertelingkahan, khilaf amat-amat dijauhi. Apa lagi seseorang yang ditarbiah untuk ’bersalik’ menuju Allah. Dia harus memandang hal-hal/keaiban dirinya dari sibuk membicarakan hal-hal orang lain. Pertelingkahan politik lagilah dibuang dari orang yang bersalik.

Antara tsamar (buah/hasil) berlapang dada dalam menyampaikan mesej Islam, bagi para daie atau pejuang itu sendiri; ianya akan menjadikan para da’ie lebih bersikap terbuka dalan menerima perbezaan pendapat/pandangan/pendekatan, kritikan, teguran, nasihat, boleh bermujadalah dalam menyelesaikan sesuatu isu yang timbul dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Maklum, sebagai manusia mesti ada juga sedikit sebanyak kesilapan yang dilakukan, para da’ie yang bergelar ulama juga tidak terkecuali.

Peringatan; Sepatutnya yang layak bergelar da’ie ilallah hanyalah para ulama, bagi yang tidak mencapai tahap untuk dipanggil ulama, maka kerja-kerja dakwah mesti dipimpin (berguru) dgn para ulama. Ini bagi mengelakan mesej dakwah yang disampaikan tidak lari atau terpesong dari jalanan Aqidah, Syariat, Akhlak (Tasawwuf) yang diwarisi dari para ulama mu’tabar.

Menangani isu Wahabi

Umum menyedari wahabi bukanlah sesuatu isu yang baru. Wahabi dalam usia yang belum mencapai usia 100 tahun hadir ke dalam dunia islam dengan darah dan air mata ummah. Kalau kita menyelidiki sejarah wahabi, tindakan menghalalkan darah golongan yang tidak sehaluan dengan mereka meninggalkan kesan mendalam dalam kalbu ummah, semata-mata kerana membawa fahaman yang berbeza dengan pegangan jumhur ulama pada masa itu termasuk bapanya sendiri As Seikh Abdul Wahhab seorang qadhi Mazhab Hanbali.

Jelas terbukti pegangan Wahabi bercanggah dengan pegangan Ahlussunnah Waljamaah, samada dalam aspek Aqidah dan Fiqh. Manakala aspek Tasawwuf, awal-awal lagi Wahabi menolaknya. Tiada Tasawwuf dalam pegangan Wahabi, Tiada Tareqat, tiada salik, tiada wali. Mereka tidak mengiktiraf Syeikh Abdul Qadir Al Jailani sebagai Sayyidul Auliya. Jadi bagaimana dengan para wali yang kita kenali sebagai Tok Selehor, Tok Kenali dan lain-lainnya? Bagi Wahabi wali tidak wujud dalam Islam. Bahkan kitab-kitab muktabar imu Tasawwuf seperti Hikam, Durrun Nafis, Ihya Ulumuddin dan sebagainya telah dihukum sebagai sesat dan khufrafat.

Wahabi secara rasmi menguasai Bumi Hijaz (Makkah dan Madinah) bersama tertegaknya kerajaan Aali Sa’ud seawal tahun 1925 setelah berjaya mengalahkan Kerajaan Syarif Hussin dari keturunan Rasulullah, wakil kerajaan Uthmaniyyah dengan bantuan Inggeris. Tanpa bantuan dan sokongan Inggeris, mustahil Wahabi dapat menguasai Bumi Hijaz. Maknanya kemunculan Wahabi adalah di atas pendurhakaan terhadap Khilafah Islam terakhir itu. Manakala jarak kemunculannya jauh terkebelakang dari wujudnya Ahlussunnah Waljamaah dalam ratusan tahun. Maka tak hairanlah hari ini Kerajaan Arab Saudi menjadikan Amerika dan sekutunya sebagai penolong dan pelindung mereka.

Menangani Isu Wahhabi
Oleh kerana Wahabi juga sebahagian dari entiti umat Islam, Islam menggariskan tatacara bagaimana untuk menghadapi golongan-golongan yang ’terpesong’ dari landasan yang sebenar. Menghadapi mereka mestilah dengan cara penuh hikmah. Antaranya ialah bermujadalah atau pun bermuakarah. Namun apa yang kita dapati, golongan Wahabi amat mengelak untuk bermuzakarah, apa lagi bila kita berpandukan kitab-kitab ulama muktabar. Bagi mereka, kitab-kitab itu awal-awal lagi sudah mereka tolak. Apa lagi bila kita mengutarakan padangan para ulama Empat Mazhab Muktabar. Mazhab sendiri pun mereka tolak. Mereka anti ulama, tapi tidak pula pada ulama mereka.

Akhirnya usaha untuk bermujadalah dengan cara baik akan menemui kegagalan. Tinggallah Wahabi menjadi barah yang berbahaya kepada umat Islam. Justeru itu, para pejuang Ahllussunnah tidak mempunyai pilihan lain selain bersikap tegas dalam menghadapi mereka. Maknanya, masa untuk menyembunyikan ilmu sudah berakhir. Di saat ini ummah dalam kekeliruan, para pejuang Ahlussunnah perlu bermati-matian mengembalikan ummah ke jalan yang lurus. Jalan yang diwarisi para Nabi, Syuhada, auliya dan ulamaul ’amilin.

2 comments:

  1. Bersama-samalah kita berusaha mendirikan Daulah Khilafah kembali.

    ReplyDelete
  2. Virus Wahhabi semakin merebak apatah lagi sebilangan besar penceramah program Agama di TV adalah terdiri dari golongan ini. Dalam suatu program "Tanyalah Ustaz" bab "Tawassul" seorang penceramah yang sekarang bergelar Datok(pangkat)
    sanggup memesongkan pengertian hadis. Dia bercerita mengenai seorang buta bertemu Rasulullah
    untuk memulihkan penglihatannya lalu dia mengatakan Rasulullah menyuruh dia solat sunat 2 rakaat dan orang ini "BERTAWASSUL DENGAN SOLATNYA". Suatu kemungkaran telah dilakukan. Yang sebenar Rasulullah s.a.w.mengajarkan "Doa" kepada orang buta tersebut yang mana dalam doa itu diajarkan BERTAWASSUL DENGAN RASULULLAH S.A.W. Setelah orang buta itu menyempurnakan saranan Nabi s.a.w itu penglihatannya pulih dan dia tidak lagi buta.
    Pimpinan politik dari semua partai Melayu, ramai dari kalangan SaWah ( Salafi Wahhabi).
    Dari segi idealogi politik mungkin berbeda tetapi mereka mempunyai satu persamaan iaitu WAHHABINISME.
    Tenaga pengajar di IPT dalam fakulti agama Islam ramai dari kaum SaWah ini. Sekarang ini golongan SaWah sudah menubuhkan "Tahfiz" mereka malah sudah ada IPT mereka seperti "KIAS" di Kelantan, MEDIU di Selangor dan mungkin ada lagi yang tidak menonjol.
    Oleh itu kepada diri ini dan saudara Islam dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sama2lah kita waspada dengan tipu daya kaum SaWah ini. Tingkatkan pengajaian dan kefahaman kita dalam ilmu Islam. Mantapkan Ilmu Tauhid,Fiqh dan Tassauf. Adalah kita ASWAJA berpegang kepada:-

    Mazhab Tauhid: Asya'irah Wa Maturidiyyah

    Mazhab Fiqh : Hanafi, Maliki, Syafi'ie, Hanbali

    Mazhab Tassauf: Abu Junaid , Imam Ghazali

    Wahhabi BUKAN Ahli Sunnah Wal Jamaah - disepakati seluruh ulama' ASWAJA dahulu dan sekarang.
    Ahli Sunnah ialah yang bermazhab tauhid seperti di atas manakala kaum SaWah bertauhid 3 serangkai (R.U.AwS), rekaan Ibnu Taimiyah kemudiannya legasi Ibnu Taimiyah diteruskan dengan modifikasi oleh Muhammad Abdil Wahhab, pendiri kaum SaWah.

    ReplyDelete